Welcoming Remarks by Mr Affendi Rashdi, Director-General of Labuan FSA at "Forum Integriti Dan Majlis Lafaz Dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR)"
Forum Integriti Dan Majlis Lafaz Dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR)



Welcoming Remarks by

Affendi Rashdi
Director-General, Labuan FSA

21st August 2025
Labuan International School (LIS)

Terima kasih Tuan/Puan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha,

  1. Tuan Muhammat Azis bin Malmod, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (atau SPRM) Wilayah Persekutuan Labuan;
  2. Dr. Muhammad Mohan, Mantan Presiden Transparency International Malaysia;
  3. Pn. Nor Hafizah binti Hassim, Pengarah Unit Integriti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (atau MARDI).
  4. Barisan Pengurusan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (atau Labuan FSA), Pengurusan Sekolah Antarabangsa Labuan (atau LIS) dan Pengurusan Labuan IBFC Incorporated Sdn Bhd.
  5. Para tetamu jemputan, wakil media: dan
  6. Seterusnya warga kerja Labuan FSA yang dikasihi sekalian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Integriti dan Salam Malaysia Madani. 

PENDAHULUAN

1. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat berhimpun pada pagi ini bagi mejayakan acara yang amat bermakna, iaitu Forum Integriti dan Majlis Lafaz serta Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) anjuran Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) hasil jaringan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

2. Sehubungan itu, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pegawai-pegawai daripada SPRM Labuan di atas kehadiran bersama di Auditorium pada hari ini. Sesungguhnya, kehadiran dan sokongan daripada Tuan-tuan dan Puan-puan semua memberikan makna yang amat besar kepada Labuan FSA dalam memupuk kesedaran dikalangan warga Labuan FSA mengenai kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni dan integriti secara berterusan. FORUM INTEGRITI: “INTEGRITI DI MEJA” Hadirin yang saya hormati sekalian, Izinkan saya memulakan ucapan saya dengan petikan satu baris hadis riwayat sahih Bukhari dan Muslim yang disabdakan Baginda Rasulullah SAW: “Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap dari kamu bertanggunggjawab atas kepimpinannya”. 3. Hadis ini pastinya mengetengahkan tanggungjawab yang terletak pada setiap organisasi atau individu untuk melaksanakan integriti dalam kepimpinan. Tanpa mengira kedudukan, pangkat posisi atau jawatan, setiap orang mempunyai tanggungjawab terhadap amanah atau tugas yang diberikan kepada mereka. Sama ada dalam keluarga, komuniti atau kerja, seseorang mesti bertindak dengan integriti dan mempertimbangkan kesan tindakan mereka terhadap orang lain. Pendek kata, integriti adalah nilai yang patut tertanam dalam setiap individu. Hadirin yang saya hormati sekalian,

3. Majlis kita pagi ini akan dimulakan dengan satu sesi forum yang cukup padat dengan pengisian dan perkongsian ilmu dan pengalaman daripada tiga (3) orang panelis jemputan kita yang arif dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing bagi mengupas tema forum kita pada hari ini. Bagi pihak Labuan FSA,
saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tetamu kita yang dihormati di atas kesudian menerima jemputan kami sebagai ahli panel untuk forum pagi ini. Hadirin yang saya hormati sekalian,

4. Tema forum yang dipilih pada tahun ini, “Integriti di Meja,” cukup relevan, sinonim malah dekat dengan kita dalam melaksanakan tanggungjawab dan Amanah, tidak kira sebagai kakitangan badan berkanun atau Syarikat swasta. Apabila kita bercakap tentang integriti, kita sering membayangkan isu besar – rasuah jutaan ringgit, salah guna kuasa atau skandal besar. Tapi sebenarnya, integriti itu bermula daripada tempat yang paling hampir dengan kita – iaitu meja kerja kita sendiri.

5. Ujian integriti tidak semestinya datang dalam bentuk tawaran besar. Kadangkala, ia datang dalam bentuk ‘hal kecil’ seperti menggunakan kemudahan pejabat untuk urusan peribadi, melengah-lengahkan tugas, atau memberi keistimewaan kepada ‘orang kita’. Perkara-perkara ini nampak remeh, tapi di situlah nilai sebenar seseorang itu diuji. Ia datang bila kita pilih antara buat kerja atau skrol TikTok 10 minit… yang jadi sejam. Atau bila kita menggunakan pencetak pejabat untuk mencetak kad kahwin sepupu atau kerja sekolah anak.

6. Justeru, forum hari ini dianjurkan bagi menyemarakkan budaya integriti di kalangan warga kerja Labuan FSA, Labuan IBFC Inc dan LIS. Forum ini dilihat sebagai usaha kita ke arah memantapkan penerapan dan pembudayaan integriti dan nilai-nilai murni secara berterusan dan terancang dalam melestarikan organisasi kita. Saya turut meletakkan harapan agar kupasan dan mesej yang dibawa di dalam forum ini dapat memberi kesedaran bahawa integriti bukan hanya tanggungjawab pihak tertentu, tetapi komitmen setiap individu. Ia bermula dari meja masing-masing dan dari situlah lahirnya budaya kerja yang bersih dan beretika.

7. Untuk makluman, pembudayaan anti-rasuah telah diletakkan sebagai salah satu klausa penting di dalam ISO 37001:2025 Anti-Bribery Management System (ABMS) Certification yang mana mewajibkan organisasi untuk mewujudkan, mengekalkan serta memupuk budaya anti rasuah di dalam organisasi meliputi semua peringkat. Sukacita saya maklumkan bahawa Labuan FSA adalah dalam proses pelaksaan untuk mendapatkan Sijil ABMS dan mensasarkan tahun 2026 untuk memperolehi pensijilan ABMS. Usaha murni ini telah mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Labuan FSA dan projek ini dipandu oleh satu jawatankuasa dalaman (ABMS Working Group) yang dilantik oleh Pihak Pengurusan Labuan FSA sebagai persediaan kearah pelaksanaan Pensijilan ABMS. Adalah diharapkan agar ABMS ini mampu meningkatkan dan mengukuhkan lagi integriti dan tatakelola dalam kepimpinan Labuan FSA. MAJLIS LAFAZ DAN MENANDATANGANI IKRAR BEBAS RASUAH Hadirin yang saya hormati sekalian, Selain daripada forum Integriti, kemuncak program pada hari ini ialah Majlis Lafaz and Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (atau IBR) yang akan dilakukan bersama oleh setiap warga Labuan FSA, Labuan IBFC Inc dan LIS.

8. Ikrar Bebas Rasuah ini merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2018. Program IBR ini memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan tersebut.

9. Objektif Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) ini diadakan adalah:
  1. Berbentuk amaran dan peringatan kepada individu agar menjauhi rasuah;
  2. Jaminan pimpinan organisasi kepada warganya, pemegang taruh dan pelanggan untuk mencegah jenayah rasuah;
  3. Penzahiran akujanji kepada komitmen individu dalam pembanterasan rasuah; dan
  4. Sebagai bukti bahawa organisasi telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mencegah jenayah rasuah.

10. Saya dimaklumkan bahawa IBR kali pertama dilaksanakan pada 23 Ogos 2022. Ini bermakna, hari ni hampir genap tiga tahun usia IBR. Untuk yang baru masuk kerja, jangan risau, tak perlu “catch up”, hari ni permulaan anda. Kita jadikan Ikrar ini sebagai penanda aras dan juga matlamat sasaran kita dalam mengukuhkan kemahuan dan pendirian bebas rasuah pengurusan kanan Labuan FSA dan menetapkan corak kepimpinan yang jelas dalam membangunkan budaya yang dibina berdasarkan etika, akauntabiliti dan amanah. Dengan ini, dapatlah kita menyampaikan kerja yang berkualiti dan mampan mengikut standard global dalam mencapai matlamat Labuan sebagai sebuah IBFC yang unggul. Ia juga menunjukkan komitmen kita untuk menggalakkan integriti dan tadbir urus/tatakelola yang baik dalam kalangan warga kerja Labuan FSA termasuk anak-anak syarikat dan menitikberatkan ketelusan dan tadbir urus korporat yang beretika dalam semua operasi perniagaan dan prosedur kerja kita.

11.Saya percaya, dengan kerjasama, semangat dan sokongan semua, kita boleh jadikan integriti ni bukan sekadar slogan, tapi sebahagian daripada DNA organisasi kita. Keterbukaan dan sifat kebertanggungjawaban yang dipamerkan oleh warga organisasi dalam menandatangani Ikrar Bebas Rasuah membuktikan komitmen yang ditunjukkan dalam usaha membanteras dan memerangi rasuah.

PENUTUP

Hadirin yang saya hormati sekalian,

12. Dalam mengakhiri ucapan ini, saya ingin sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan khusus kepada ahli panel yang dihormati Tn. PPj. Muhammat Azis, Dr. Muhammad Mohan; dan Pn. Nor Hafizah di atas kesudian untuk berkongsi pandangan, pengetahuan dan pengalaman mereka tentang Integriti. Perkongsian ahli panel kita hari ini sangat dihargai dan saya percaya akan membawa kepada pembudayaan integriti yang lebih mendalam dan bererti di kalangan warga kerja Labuan FSA.

13. Program hari ini bukan sekadar acara tahunan untuk “cukup syarat,” tapi juga sebagai peringatan bahawa integriti itu bukan retorik – ia tindakan. Program hari ini turut diharapkan menjadi pemangkin kepada pembangunan dan kejayaan organisasi yang berpegang teguh kepada nilai-nilai integriti, akauntabiliti dan profesionalisme, demi kecemerlangan dan kelestarian organisasi kita.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

14. Saya sekali lagi mengucapkan selamat datang dan terima kasih di atas kehadiran anda. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Unit Pengurusan Risiko, Unit Integriti dan Pematuhan, Unit Pengurusan Fasiliti, Unit Komunikasi Korporat dan Hubungan Luar dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung di dalam penganjuran program pada hari ini. Tanpa usaha dan sokongan anda semua sememangnya program ini tidak akan berjaya dilaksanakan. Mempelai sejoli atas persada, Uda dan dara berhias indah, Nilai integriti sematkan di dada Walau di mana kaki melangkah Bunga kenari terbang ke desa, Hinggap sebentar di pohon ara, Integriti adalah harga diri bangsa, Maruah negara perlu dijaga. Bunga dedap di atas permatang, Anak dusun pasang pelita; Kalau tersilap tutur bicara, Jemari disusun maaf dipinta.

Sekian, terima kasih. Wabillahi taufiq walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Mr Affendi Rashdi
Director-General, Labuan FSA
Copyright © Labuan FSA 
Ooops!
Generic Popup2