Welcome Remarks by Datuk Danial Mah Abdullah, Director-General of Labuan FSA at "Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Hospital Labuan"
‘Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Hospital Labuan’

8 Oktober 2020

Welcome Remarks By

Datuk Danial Mah Abdullah
Director-General, Labuan FSA

Bismillahirrahmanirrahim
Yang Berhormat Senator Datuk Haji Bashir Bin Haji Alias, Ahli Dewan Negara
Yang Berusaha Dr. Ismuni Bohari, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Wilayah Persekutuan Labuan
Yang Berusaha Dr. Adnan Musa Balidran, Pengarah Hospital Labuan
Encik Kharuddin Abdul Rahman, Pengerusi, Persatuan Bank Labuan
Wakil-wakil Industri Labuan IBFC
Pegawai-pegawai kesihatan dan petugas barisan hadapan; dan
Para hadirin yang dihormati sekalian
Assalamualaikum dan salam sejahtera,

1. Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurniaNya dapatlah kita bersama-sama pada hari ini dalam menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan kepada Hospital Labuan.

2. Terlebih dahulu, bagi pihak Labuan FSA dan penggiat industri Labuan IBFC, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri, Wilayah Persekutuan Labuan dan seluruh warga Hospital Labuan di atas komitmen dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi serta pengorbanan yang diberikan, sepanjang usaha mencegah penularan wabak Covid-19 di pulau Labuan.

3. Sesungguhnya, tanpa petugas barisan hadapan iaitu anda semua, kita mungkin akan berhadapan dengan situasi yang lebih getir lagi. Oleh itu, semua pihak perlu bersatu-padu dan menggembleng tenaga untuk membantu dalam semua aspek yang diperlukan untuk menghadapi krisis Covid-19 yang sedang melanda ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

4. Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan atau Labuan IBFC merupakan nadi perantaraan bagi perniagaan serantau. Labuan FSA sebagai agensi pengawalseliaan sentiasa berusaha untuk memastikan agar gangguan minimum dan kesinambungan terus kekal dalam operasi perniagaan penggiat industri Labuan IBFC, seperti bank, syarikat insurans dan syarikat amanah. Pelbagai strategi dan inisiatif telah diperkenalkan agar pusat perniagaan dan kewangan terus kekal beroperasi dalam situasi yang terhad, seperti meningkatkan kadar pengunaan media digital dalam proses-proses perniagaan dan pertemuan.

5. Di peringkat awal ketika berlakunya penularan Covid-19 dan semasa tempoh perintah kawalan pergerakan, pihak penggiat industri dan Labuan FSA menyedari bahawa ramai warga Labuan yang akan terkesan akibat krisis ini. Sehubungan dengan itu, sebuah inisiatif kutipan dana untuk Covid-19 telah ditubuhkan pada bulan Mac 2020 oleh Labuan FSA dan penggiat industri Labuan IBFC, yang bertujuan untuk meringankan beban penduduk Labuan dan pelbagai pihak semasa penularan wabak ini. Antaranya ialah jalinan kerjasama dengan pihak Hospital Labuan dalam aspek penambahbaikan kemudahan dan peralatan hospital.

6. Hospital merupakan sebuah institusi perkhidmatan yang amat penting bagi sesebuah komuniti terutamanya di Pulau Labuan, lebih-lebih lagi dalam situasi yang mencabar ini. Justeru, kemudahan-kemudahan dan peralatan hospital hendaklah sentiasa cukup dan terkini. Kami amat bersyukur kerana dengan dana bantuan Covid-19, Labuan IBFC dapat menaja sebuah unit ‘GeneXpert Machine’ serta 600 kit ujikaji Xpress untuk Hospital Labuan. Kami difahamkan bahawa mesin tersebut juga boleh digunakan untuk menguji virus-virus seperti HIV dan lain-lain lagi. Kami berharap agar inisiatif ini akan membantu Hospital Labuan dalam mempercepatkan ujian saringan Covid-19 supaya tindakan-tindakan rawatan dapat dijalankan ke atas pesakit-pesakit dengan kadar segera.

7. Dana Labuan IBFC juga telah berjaya menampung pembelian 70-unit dual function Hospital Bed, 1 unit tri-function Hospital Bed, 69 unit Adjustable Overbed Table, dan 5 unit Sundstrom Silicon Face Mask, untuk menambah baik kemudahan Hospital Labuan dan kegunaan petugas hospital.

8. Untuk maklumat para hadirin, pada awal penularan wabak ini, komuniti Labuan IBFC juga telah berganding bahu untuk melengkapkan keperluan bagi Pusat Kuarantin Labuan di Pusat Giat Mara dan Institut Latihan Perindustrian Labuan, berupa sumbangan katil, tilam, bantal dan barangan asas bagi kegunaan dan keselesaan penghuni yang ditempatkan di pusat-pusat kuarantin tersebut. Komuniti Labuan IBFC juga turut menyumbangkan bahan makanan dan keperluan asas kepada pelajar-pelajar UMS-Kampus Antarabangsa Labuan dan Kolej Matrikulasi Labuan, petugas barisan hadapan dan golongan yang tidak berkemampuan semasa tempoh kawalan pergerakan yang lalu.

Para hadirin yang dihormati,

9. Kami amat berharap agar sumbangan-sumbangan ini akan dapat membantu pihak Hospital Labuan dalam usaha-usaha mencegah dan membanteras penularan wabak Covid-19. Komuniti Labuan IBFC akan terus menyokong dan bekerjasama dengan Hospital Labuan dalam menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat Labuan.

10. Bagi pihak Labuan FSA dan penggiat industri Labuan IBFC, sekali lagi, terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada petugas barisan hadapan atas dedikasi dan sikap tidak mementingkan diri semasa keadaan yang genting ini. Saya berdoa agar kita semua dikurniakan kesihatan yang baik dan berjaya dalam memerangi wabak Covid-19.

11. Izinkan saya akhiri ucapan ini dengan dua rangkap pantun:

Salam hormat di akhir bicara
Kepada semua petugas barisan hadapan negara
Semoga sentiasa sihat dan sejahtera
Jasa dan pengorbananmu tidak terkira

Salam dihulur tanda penghormatan
Terima kasih segalanya kami ucapkan
Senyuman terukir tanda penghargaan
Ayuh, sama-sama kita bina Labuan

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Datuk Danial Mah Abdullah
Director-General, Labuan FSA
Copyright © Labuan FSA 
Ooops!
Generic Popup