Ucapan Aluan oleh Ketua Pengarah Encik Nik Mohamed Din Nik Musa Majlis Lafaz Ikrar dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah
Majlis Lafaz Ikrar dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah

23 Ogos 2022

Ucapan Aluan 
oleh 
Ketua Pengarah Nik Mohamed Din Nik Musa


Salutasi:
Yang BerusahaTuan Augustine S. Manson,
Timbalan Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Labuan.
Pengurusan Labuan FSA, Ketua-ketua Unit Labuan FSA.
Pegawai-pegawai SPRM, wakil-wakil media dan kakitangan Labuan FSA yang dikasihi sekalian.

Pendahuluan:
1. Terlebih dahulu ingin saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya diberi kelapangan waktu dan kesihatan dapat kita berkumpul bersama bagi Majlis Lafaz Ikrar dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan. Tahniah diucapkan atas usaha murni dalam melaksanakan majlis yang bermanfaat ini.

Pengenalan kepada Ikrar Bebas Rasuah dan Objektif Majlis

2. Ikrar Bebas Rasuah ini merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2018. IBR ini memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan tersebut. Majlis ini merupakan sebahagian daripada usaha Labuan FSA untuk meningkatkan integriti di bawah Pelan Anti-rasuah Organisasi Labuan FSA (“OACP”) 2020-2022 (Strategi 1 iaitu Menggalakkan Tadbir Urus Baik dan Meningkatkan Ketelusan dan Akauntabiliti), di mana objektif majlis ini diadakan adalah:
  1. Menjadi amaran dan peringatan kepada individu agar menjauhi rasuah;
  2. Jaminan pimpinan organisasi kepada warganya, pemegang taruh dan pelanggan untuk mencegah jenayah rasuah;
  3. Penzahiran akujanji kepada komitmen individu dalam pembanterasan rasuah; dan
  4. Sebagai bukti bahawa organisasi telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mencegah jenayah rasuah.

Kesan Pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah
3. Tambahan pula, ikrar ini mengukuhkan kemahuan dan pendirian bebas rasuah pengurusan kanan Labuan FSA dan menetapkan rentak kepimpinan yang jelas dalam membangunkan budaya yang dibina berdasarkan etika, akauntabiliti dan amanah. Dengan ini, dapatlah kami menyampaikan kerja yang berkualiti dan mampan mengikut standard global dalam mencapai matlamat Labuan sebagai sebuah IBFC yang unggul. Ia juga menunjukkan komitmen kami untuk menggalakkan integriti dan tadbir urus yang baik dalam kalangan kakitangan kami kerana kami menghargai ketelusan dan tadbir urus korporat yang beretika dalam semua perniagaan dan prosedur kami.

Initiatif Labuan FSA: Pelaksanaan Ikrar Integriti Korporat Malaysia
4. Labuan FSA telah menandatangani Ikrar Integriti Korporat Malaysia (CIP) pada 2014. CIP adalah satu inisiatif yang memerlukan syarikat di Malaysia mematuhi dan memegang Prinsip Anti-Rasuah. Selain itu, CIP juga merupakan salah satu langkah dalam memenuhi tatacara mencukupi dalam peruntukan Liabiliti Korporat di bawah Akta SPRM 2009. Di bawah Akta ini, syarikat-syarikat perlu mengambil langkah-langkah yang bersesuaian untuk memastikan rasuah tidak berlaku di tempat kerja.

Tuan dan puan sekalian,

Initiatif Labuan FSA: Pelan Anti-Rasuah Organisasi Labuan FSA 2020-2022
5. Pelan Anti-rasuah Organisasi Labuan FSA (“OACP”) 2020-2022 telah dibangunkan dan terdiri daripada tiga bidang keutamaan, lima pengenalpastian penilaian risiko rasuah, empat strategi dan sebelas inisiatif. Visi OACP adalah untuk menjadikan Labuan FSA bebas daripada rasuah dengan memberi tumpuan kepada tiga misi - (1) untuk menggalakkan budaya integriti dan anti-rasuah; (2) untuk mewujudkan tenaga kerja yang profesional dan cekap; dan (3) untuk menggubal dan melaksanakan dasar yang menepati piawaian dan amalan terbaik. Malah, Labuan FSA akan memperbaharui pelan anti-rasuah organisasinya yang akan dijadualkan selesai pada tahun ini. Di antara langkah-langkah yang telah diambil termasuk:
  1. penambahbaikan sistem perolehan berpusat bagi mewujudkan organisasi yang bebas rasuah;
  2. penambahbaikan polisi dan garispanduan integrity (Guidelines on Whistleblowing, Policy on Gift, Entertainment and Corporate Hospitality, Policy on Job Rotation and Policy on Mandatory Leave);
  3. Penubuhan Intervention and Enforcement Committee (IEC) adalah bertujuan untuk membantu Ketua Pengarah Labuan FSA dalam membuat keputusan yang terbaik dengan berpandukan kepada dasar tadbir urus yang baik dan ketelusan menyelia dan menguatkuasakan prosedur. Di samping memastikan wujudnya prosedur yang mantap, berpusat & mematuhi piawaian yang melibatkan peranan penyeliaan dan penguatkuasaan Labuan FSA selaras dengan mandat & fungsinya di bawah Seksyen 3 Akta Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan 1996;
  4. Pelantikan seorang Pegawai Integriti;
  5. Mengadakan tapisan kewangan dan jenayah untuk setiap proses pelantikan kakitangan termasuk pengurusan Labuan FSA; dan
  6. Pelbagai program dan aktiviti untuk meningkatkan kesedaran berkaitan anti-rasuah seperti Bulan Integriti dan sebagainya.

Initiatif Labuan FSA: Membina Pelan Anti-rasuah Organisasi 2023-2025
6. Labuan FSA dalam perancangan untuk membina pelan anti-rasuah organisasi baharu yang akan bermula pada tahun 2023 sehingga tahun 2025. Inisiatif yang bakal dirancang selaras dengan keperluan Pelan Anti-rasuah Kebangsaan (“NACP”) yang sebahagian daripada usahanya adalah secara berterusan untuk mengekalkan standard integriti yang tinggi dan untuk menggalakkan budaya tadbir urus yang baik di dalam negara dan amnya kepada aktiviti perniagaan Labuan FSA.

Pembudayaan Integriti di Labuan FSA
7. Integriti dan Tadbir Urus dipandang serius di Labuan FSA. Kami secara proaktif mengurus dan menangani risiko berkaitan integriti dan tadbir urus secara awal. Selain itu, Labuan FSA tidak bertolak ansur dengan sebarang salah laku yang boleh mencemarkan nama baiknya, memandangkan reputasi kukuh kami telah dibina dengan gigih sejak beberapa dekad. Kami berharap kepada orang ramai terutamanya pemain industri dan pelabur berpotensi untuk memelihara integriti dan kredibiliti serta keyakinan pasaran terhadap Labuan FSA sebagai pengawal selia yang boleh dipercayai dan Labuan IBFC sebagai pusat kewangan bereputasi. Oleh itu, kita mempunyai toleransi sifar untuk tingkah laku tidak beretika yang membawa kepada penipuan, termasuk rasuah. Kakitangan mesti sedar bahawa kelakuan mereka tidak boleh menimbulkan sebarang persepsi tentang amalan rasuah. Pengurusan Labuan FSA akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan, memudahkan atau terlibat dalam perbuatan tersebut. Kami tidak akan melindungi pesalah tersebut dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa penguatkuasaan yang berkaitan untuk memastikan tindakan dan hukuman yang sewajarnya dilaksanakan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Iltizam Labuan FSA dalam menangani isu rasuah
8. Labuan FSA telah menetapkan asas untuk tadbir urus yang baik dan anti-rasuah dalam operasi kami, dan kami telah bekerja keras untuk memenuhi objektif. Normal baharu telah membawa cabaran baharu, tetapi ia hanya memperbaharui semangat kami dan kami lebih berazam untuk memerangi rasuah. Sebagai pengawal selia, kami berharap lebih banyak syarikat dan komuniti akan menyertai kami dalam perjuangan ini supaya kami dapat bersama-sama menghantar mesej yang jelas dan kukuh bahawa kami tidak akan berkompromi dengan rasuah, dan kami akan menegakkan nilai kami dengan integriti tertinggi.

Penutup:
9. Kami amat berbesar hati kerana berpeluang mendapat manfaat daripada inisiatif SPRM dan ia akan membantu kami menjalankan peranan kami dalam memerangi rasuah. Semoga majlis ini memupuk kerjasama yang lebih erat antara Labuan FSA dan SPRM, dan membuka jalan kepada lebih banyak acara bersama pada masa akan datang. Bagi pihak Labuan FSA, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kejayaan majlis ini yang disaksikan oleh SPRM yang menandakan satu lagi peristiwa penting dalam perjalanan Labuan FSA dalam usaha memerangi rasuah dan pada masa yang sama memupuk budaya tadbir urus yang baik, tinggi tahap integriti dan profesionalisme dalam tingkah laku dan etika perniagaan.

Terima kasih.



Ketua Pengarah 
Nik Mohamed Din Nik Musa
Copyright © Labuan FSA 
Ooops!
Generic Popup