Ucapan Aluan dan Perasmian Karnival Kewangan Labuan 2023 oleh Encik Nik Mohamed Din Bin Nik Musa Ketua Pengarah Labuan FSA
Ucapan Aluan dan Perasmian Karnival Kewangan Labuan 2023 oleh En Nik Mohamed Din bin Nik Musa, Ketua Pengarah Labuan FSA
Bismillahirrahmanirrahim

Ybrs. Encik Simsudin Bin Hj Sidek, Timbalan Pengerusi
Perbadanan Labuan

Ybrs. Tuan Haji Rithuan bin Hj. Mohd Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Labuan

Dif-dif kehormat,

Warga Labuan serta para hadirin sekalian yang dikasihi.

Assalamualaikum W.B.T and Salam Sejahtera.

1. Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan berkat limpah dan kurnia-Nya kita dapat bersama-sama menghadiri program Karnival Kewangan Labuan 2023 pada hari ini. Bagi pihak Labuan FSA, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua dif-dif kehormat serta wakil-wakil daripada agensi kerajaan di atas kesudian untuk menjayakan dan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi untuk menyempurnakan program karnival kewangan Labuan yang akan berlangsung selama dua hari bermula pada hari ini, 23 sehingga 24 September 2023, bermula pada jam 9.00 pagi sehingga jam 4.00 petang.

2. Untuk makluman para hadirin, pada tahun-tahun yang lepas, Labuan FSA telah menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebelum berlakunya pandemik COVID-19 seperti acara larian Labuan, sesi kayuhan basikal santai, peraduan mencari harta karun dan sebagainya. Kini, Labuan FSA kembali menganjurkan aktiviti CSR dan ini merupakan program yang julung kali diadakan pasca pandemik. Namun demikian, pada tahun ini, kami akan menggunakan pendekatan yang lebih berteraskan ilmiah iaitu berkaitan dengan aspek pendidikan kewangan, bersesuaian dengan mandat yang telah diberikan kepada Labuan FSA sebagai badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

3. Secara amnya, pelaksanaan program karnival kewangan Labuan ini bertujuan untuk meningkatkan tahap literasi kewangan di kalangan warga Labuan, supaya pengguna akan lebih maklum tentang sistem kewangan yang sedia ada dan melindungi mereka daripada terjebak dengan penipuan kewangan dalam talian yang semakin berleluasa.

4. Baru-baru ini menurut laporan yang diterima daripada PDRM, penipuan dalam talian terus merekodkan peningkatan, ‘scammer’ menjadikan penjawat awam dan pesara sebagai sasaran kerana mereka memiliki kewangan yang stabil. Ramai dalam kalangan mangsa terpedaya dengan modus operandi seperti menjanjikan pinjaman wang dan pelaburan yang sebenarnya tidak wujud. Jumlah pesara kerajaan yang menjadi mangsa penipuan adalah sangat tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Seramai 22,000 pesara kerajaan telah menjadi mangsa scammer setakat ini, melibatkan kerugian sebanyak RM850 juta (…sebagai perbandingan, ia lebih tinggi daripada kos bangunan ini pada 1996 ia siap dibina).

5. Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati apabila menerima panggilan daripada pihak tidak dikenali menawarkan skim pelaburan atau sebarang urusan membabitkan transaksi kewangan. Selain itu, jangan mudah terpengaruh dengan tawaran pembelian barangan pada harga murah atau menjanjikan bulan dan bintang kerana dibimbangi ia adalah taktik penipuan. If it’s too good to be true, it probably is. Janganlah mudah terpedaya dengan tawaran yang terlalu bagus untuk dipercayai, hadirin yang dihormati sekalian.

6. Ini termasuklah tawaran seperti tawaran harga yang rendah bagi barangan atau perkhidmatan dari harga pasaran, tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dan berisiko rendah, tawaran pinjaman wang yang mudah lulus, cepat dan kadaran bayaran rendah, tawaran hadiah atau wang tunai dari kenalan luar negara yang tidak pernah berjumpa, tawaran kerja dengan tugasan yang mudah dan gaji yang lumayan, dan tawaran menggunakan akaun individu sebagai akaun keldai (mule account) oleh scammer atau penjenayah wang haram money launderer luar negara untuk mencucikan wang haram yang menjanjikan komisyen lumayan. Kerap kali juga mereka diperdaya dengan menhulurkan wang hadapan atau upfront money untuk mendapat pulangan tinggi dan itulah masanya scammer itu mendiamkan diri setelah mendapat wang hadapan.

7. Untuk makluman para hadirin, ancaman keselamatan siber di Malaysia baru-baru ini telah meningkat dari segi kekerapan dan keparahan serangan, berdasarkan laporan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital. Tahun lepas sahaja, negara mengalami beberapa serangan siber yang serius termasuk serangan ransomware, percubaan pengintipan siber, kebocoran data dan penipuan siber.
  1. Menurut laporan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, kes penipuan dalam talian telah meningkat dengan ketara sejak tahun 2000. Dari 2020 hingga 2022, jumlah aduan berkaitan penipuan meningkat sebanyak seratus peratus. Daripada 548 aduan pada 2020 kepada 1,124 aduan pada 2022, dengan jumlah kerugian mencecah puluhan juta Ringgit Malaysia.
  2. Bank Negara Malaysia mendedahkan bahawa Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) telah mengendalikan 15,723 kes dengan jumlah kerugian bernilai RM141.47 juta dari Oktober 2022 hingga Jun 2023.

Para hadirin sekalian,

8. Berdasarkan laporan yang membimbangkan ini, penganjuran karnival kewangan ini adalah amat bertepatan, sebagai usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran mengenai kepentingan Pendidikan kewangan di kalangan masyarakat setempat. Program Karnival Kewangan pada tahun ini akan menyajikan warga Labuan dengan pelbagai program dan aktiviti yang menarik untuk disertai. Kita amat bertuah kerana karnival kali ini telah menarik lebih daripada sepuluh penyertaan (10) “booth-booth” daripada pelbagai agensi seperti Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO), Global Art, Financial Park Labuan (FPL), Perbadanan Labuan (PL), Jabatan Akauntan Negara dan termasuk Labuan FSA sendiri.

9. Di samping itu, terdapat pelbagai program sampingan menarik yang telah disediakan untuk semua, termasuk golongan dewasa dan kanak-kanak. Antara aktivitinya adalah seperti permainan “Wheel of Fortune’’, “Throw a Dice”, “Mini Snakes & Ladder” serta pertandingan mewarna dan melukis yang akan dikendalikan oleh pihak Global Art dan Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS).

10. Untuk makluman, para peserta juga akan diberikan sijil elektronik bagi penyertaan dalam program bicara santai atau ‘Pocket Talks’. Sesi bicara santai ini akan disampaikan oleh barisan agensi yang berkaliber termasuk Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Bank Negara Malaysia (BNM). Labuan FSA juga akan menampilkan seorang penceramah khas, iaitu Encik Kamal Affendi Hashim yang merupakan seorang Pakar Penganalisis Jenayah yang akan membimbing kita semua untuk mencegah diri daripada terjerat dalam penipuan kewangan, termasuk jenayah siber.

11. Oleh itu, silalah kekal bersama kami sepanjang dua hari ini, kerana anda mungkin berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah misteri dalam sesi cabutan bertuah yang akan berlangsung pada setiap penghujung acara. Bersama-sama kita berdebar-debar menunggu dan menikmati acara-acara ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

12. Melalui program karnival kewangan pada tahun ini, Labuan FSA berharap agar warga Labuan akan memperolehi manfaat yang sewajarnya dan mampu untuk meningkatkan tahap kesedaran yang lebih mendalam mengenai produk kewangan yang sedia ada serta menggalakkan rangkuman kewangan (Financial Inclusion) yang efektif. Ini merujuk kepada usaha untuk menjadikan produk dan perkhidmatan kewangan serta pendidikan kewangan boleh diakses dan mampu dimiliki oleh semua individu, tanpa mengira latar belakang.

13. Dengan wujudnya rangkuman kewangan yang inklusif, ia akan membantu untuk meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan orang ramai tentang produk dan perkhidmatan kewangan yang sedia ada. Ini selaras dengan matlamat kerajaan dalam Ekonomi Madani: Memperkasa rakyat, iaitu wadah mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia. Oleh itu, kecelikan kewangan merupakan langkah pertama untuk mencapai matlamat tersebut.

14. Sekali lagi, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua wakil-wakil agensi yang terlibat dalam menjayakan program karnival kewangan pada tahun ini. Saya juga ingin menyeru anda semua untuk menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk kita bersama-sama sebagai sebuah komuniti, terus menyokong inisiatif untuk memupuk budaya celik kewangan di kalangan warga tempatan.

15. Akhir kata, izinkan saya mengakhiri ucapan saya dengan pantun berikut:

Ilmu dituntut celik menjadi habuan,
Di pulau yang indah bersama rakan,
Inilah Karnival Kewangan Labuan,
Selamat datang Labuan FSA ucapkan

Angan-angan Mat Jenin tidak pernah lesu,
Berkahwin puteri raja, lantangnya merapu,
Jangan terpedaya oleh rayuan palsu,
Bijaklah memilih, jangan kita tertipu.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirahim, dengan ini saya merasmikan program “Karnival Kewangan Labuan 2023”.

Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

FOR FURTHER INFORMATION, PLEASE CONTACT:

Corporate Communication & External Relations Unit
Tel : +603-8873 2000 Fax : +603-8873 2209
E-mail: [email protected]
Copyright © Labuan FSA 
Ooops!
Generic Popup