Closing Remarks By Mr. Nik Mohamed Din Bin Nik Musa, Director-General of Labuan FSA at the Labuan LAB 2.0 - Forum On Harmful Tax Practices Assessment (Post FHTP)
Labuan LAB 2.0
Forum Mengenai Penilaian Amalan Cukai Memudaratkan (Pasca FHTP)
Forum On Harmful Tax Practices Assessment (Post FHTP)


6 – 8 Julai 2022

Ucapan Penggulungan

En Nik Mohamed Din Bin Nik Musa
Ketua Pengarah, Labuan FSA


Bis…Terima kasih tuan pengacara majlis. Saya tidak berjaya memegang mike semalam. Mungkin ini boleh jadi penggantinya…

Yang Berbahagia Datuk Mohd Nizom Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia,

Yang Berusaha Puan Che Nazli binti Jaapar, Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan Malaysia,

Yang Berusaha Encik Abu Tariq Jamaluddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, selaku Ahli Lembaga Labuan FSA,

Yang Berbahagia Datuk Mohd Jaafar Embong, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN,

Yg Berbahagia Datuk Hajam Lajah Alam, Pengarah Pejabat Negeri Sabah,

Yang Berusaha Puan Salamatun-najan Besah, Pengarah Jabatan Dasar Cukai LHDN,

Pegawai-Pegawai kanan MOF, Pegawai-Pegawai kanan LHDN

Pegawai-Pegawai kanan dan rakan sekerja di Labuan FSA

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan selamat datang.

1. Saya bersyukur ke hadrat ILahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bersua kembali kali ini di majlis perasmian penutupan Labuan Lab 2.0 bersama dengan top management dari LHDN. Bengkel hari ini yang akan masuk bersidang selama tiga hari berturut-turut membincangkan hal-hal berkaitan hala tuju dasar percukaian Labuan IBFC. Ini amat perlu bagi menjamin kemampanan dan daya saing Labuan IBFC sebagai pusat kewangan yang bertaraf antarabangsa serta menepati piawaian dan amalan baik percukaian antarabangsa seiring dengan pusat kewangan antarabangsa yang lain.

Para hadirin sekalian,

2. Dalam usaha Labuan FSA untuk mempertingkatkan daya saing dan reputasi Labuan IBFC di peringkat global, Labuan FSA telah komisyenkan pakar bebas untuk mengendalikan penilaian risiko khususnya ke atas kesemua sektor-sektor kewangan di Labuan IBFC sejak tahun 2020. Hasilnya adalah Laporan Penilaian Risiko Labuan atau Labuan Risk Assessment report yang telah diendoskan oleh the National Coordination High Level Committee to Counter Money Laundering pada 26 April 2022 dan penilaian khusus ini melengkapi penilaian risiko sektoral di peringkat nasional yang diselaraskan oleh Bank Negara Malaysia.

3. Kedua-dua laporan penilaian risiko Labuan khususnya dan sektoral keseluruhannya menunjukkan Labuan IBFC adalah berisiko rendah dari segi pengubahan wang haram. Ini telah dicapai melalui peningkatan dari segi rangka pengawalseliaan dan pengawasan yang baik ke atas pelesen-pelesen di Labuan dan juga tahap kewaspadaan yang tinggi di pihak industri. Kami percaya pencapaian ini dapat membina suasana yang sesuai dan kondusif bagi pelabur-pelabur dan peserta-peserta asing untuk menggunakan Labuan sebagai pusat transaksi merentasi sempadan yang akan memberi lebih peluang perniagaan kepada institusi kewangan dan service providers di Labuan.

4. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada MOF dan LHDN kerana telah bekerjasama dengan pihak Peguam Negara dan Labuan FSA untuk memastikan penambahbaikan dan pindaan kepada ketiga-tiga Akta Labuan iaitu Labuan Companies Act 1990, Labuan Financial Services and Securities Act 2010, dan Labuan Islamic Financial Services and Securities Act 2010 dilaksana dengan baik dan menepati piawaian dan amalan baik percukaian antarabangsa. Pada 10 Jun bulan lepas, pindaan kepada ketiga-tiga Akta telah efektif, sekaligus menguatkan lagi rangka perundangan dan pengawalanseliaan, dan reputasi Labuan IBFC menegakkan kehendak piawaian pengawalseliaan dan percukaian antarabangsa dan memelihara penilaian positif, insyaAllah.


Para hadirin sekalian,

5. Izinkan saya berkongsi sekali lagi berkaitan dengan Pelan Hala Tuju Strategik Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan bagi tahun 2022 sehingga 2026 yang dilancarkan oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul, Menteri Kewangan Malaysia baru-baru ini. Aspirasi dan visi utama Pelan Strategik ini adalah untuk mendorong Labuan IBFC supaya menjadi pusat kewangan antarabangsa yang lebih dinamik, lestari dan mantap yang dapat menghubungkan serta menyokong pertumbuhan ekonomi pasaran Asia dan sekaligus menyumbang kepada ekonomi negara.

6. Pelan hala tuju strategik ini memberi tumpuan kepada beberapa fokus utama termasuklah:
  1. pendigitalan untuk mempelbagaikan perniagaan yang innovatif;
  2. mempromosikan struktur insurans kaptif (captive insurance atau self-insurance) yang unik dan menggiatkan semula sektor khusus, termasuk perniagaan kewangan patuh Syariah di mana Malaysia cukup terkenal dengan kemajuan dalam bidang Islamic finance;
  3. menggalakkan kerancakan ekonomi pulau Labuan melalui perniagaan intra-Labuan; dan
  4. memodenkan pendekatan pengawalseliaan dan penyeliaan seiring dengan perubahan landskap perniagaan antarabangsa.
7. Dengan adanya kepelbagaian penawaran perniagaan baru dan unik di Labuan IBFC, ini pasti akan dapat menarik minat pelabur-pelabur di dalam dan luar negara menjadikan Labuan IBFC sebagai pusat utama operasi perniagaan mereka. Langkah ini akan memberi impak yang positif kepada aliran ekonomi Labuan dari segi penjanaan peluang pekerjaan baru, permintaan servis sokongan dan juga potensi kutipan hasil baru yang dapat dikutip oleh kerajaan dari sektor-sektor baru ini. Namun begitu, Labuan FSA akan sentiasa memastikan pemain industri akan sentiasa mematuhi peraturan-peraturan perniagaan yang ditetapkan termasuk peraturan Anti Money Laundering dan Combatting the Financing of Terrorism atau AML-CFT.

8. Mengambil insurans kaptif sebagai contoh, ia merupakan perniagaan yang berkembang maju baru-baru ini dan telah menjadi sektor insurans kedua terbesar di Labuan IBFC dengan janaan premium kasar insurans sebanyak USD569 juta yang mana sebanyak 60% daripada janaan tersebut adalah daripada pasaran antarabangsa. Di samping itu juga, Labuan IBFC telah diiktiraf sebagai pusat kaptif antarabangsa terbaik untuk kaptif insurans untuk tahun 2021 di European Captive Review Awards yang telah diadakan di Luxembourg, mengatasi Guernsey, Delaware, Singpura dan Hong Kong. Penganugerahan ini kepada Labuan IBFC membuktikan bahawa pasaran insurans kaptif di Labuan IBFC semakin berkembang di peringkat global dan dikawalselia dengan baik.


Para hadirin sekalian,

9. Labuan IBFC juga dijangka bakal memainkan peranan penting sebagai hab penjanaan dana dalam pelaburan di dalam ruangan digital antarabangsa dengan produk unik seperti “ESG” (environmental, social and governance) dan patuh Shariah. Labuan FSA ingin membangunkan sebuah pusat aset digital patuh Syariah atau Islamic Digital Asset Centre (atau IDAC) di Labuan IBFC di mana pencari dana boleh mentokenkan aset seperti hartanah, emas atau syer-syer melalui digital exchange dan teknologi blockchain dan membuat fund raising secara digital dalam mata wang asing untuk menarik pelabur-pelabur antarabangsa yang inginkan aset patuh Syariah atau patuh ESG. Digital exchange secara Islamik yang pertama bakal dilancarkan di Labuan IBFC menjelang suku ketiga 2022, yang mungkin akan menjadi yang pertama di dunia.

10. Untuk menjamin aspirasi kita bersama untuk melihat Labuan IBFC terus maju dan tiada penghalang, faktor-faktor penting yang perlu ditangani termasuklah penyediaan infrastruktur asas di Labuan. Labuan masih terdapat beberapa kekangan dari segi kemudahan untuk beroperasi secara fizikal di Labuan, di antaranya ketersambungan atau connectivity, kemudahan jalur lebar dan keselamatan siber, malah kemudahan asas tanpa gangguan lain seperti bekalan air, elektrik dan barangan makanan juga perlu dipelihara dan ditambahbaikkan. Daya tarikan Labuan sebagai sebuah pulau bebas cukai dan pusat pelancongan berpotensi untuk dinaiktarafkan untuk menarik lebih ramai pelabur, institusi kewangan, syarikat global dan tenaga mahir ke Labuan.

11. Tenaga mahir adalah faktor terpenting dalam kemajuan mana-mana pusat kewangan dan perniagaan. Cara hidup atau lifestyle di Labuan yang mungkin agak berbeza dari Wilayah Persekutuan yang lain seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya merupakan cabaran untuk menarik modal insan ke Labuan. Labuan FSA sentiasa berhubung dengan pihak berkepentingan untuk mengatasi isu-isu ini. Untuk mengurangkan kekangan-kekangan ini, saya percaya pihak MOF dan LHDN dapat bersama kami mencari jalan penyelesaian untuk memberi insentif-insentif yang sesuai kepada tenaga mahir yang terpilih untuk menetap dan bekerja di Labuan, mungkin pada mulanya memberi sedikit fleksibiliti dalam dunia yang kini beroperasi dalam suasana telecommuting seperti work from anywhere sehinggalah keadaan bertambah selesa dan maju di Labuan bagi komuniti antarabangsa.


Para hadirin sekalian,

12. Labuan FSA sentiasa bertanggungjawab dalam memastikan Labuan IBFC memberi sumbangan kepada ekonomi negara terutama dalam peningkatan dalam nilai fiskal dan pendapatan negara. Teras ini telah termaktub di dalam Hala Tuju Strategik Labuan IBFC 2022-2026. Walaupun sesetengah inisiatif yang tertera dalam Pelan Hala Tuju perlu dimulakan sekarang, aliran pendapatannya akan bermula di masa akan datang atau secara jangka panjang atau long term, insyaAllah.

13. Sebelum mengakhiri ucapan ini, bagi pihak Labuan FSA, sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Labuan LAB 2.0 yang telah diadakan sepanjang tiga hari ini. Semoga sesi ini telah memberikan manfaat untuk semua dan mencapai objektif yang telah ditetapkan. InsyaAllah semoga kolaborasi antara Labuan FSA, MOF dan IRB dapat diteruskan pada masa akan datang untuk manfaat peserta industri Labuan.


Sekian terima kasih, wabilhitaufik walhidayah wassalam w.r.t.


Mr Nik Mohamed Din Bin Nik Musa
Ketua Pengarah, Labuan FSA
Copyright © Labuan FSA 
Ooops!
Generic Popup